mcmc
Sejarah

Sejarah

Nanga Medamit mendapat gelarannya sempena nama sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Medamit. Perkataan ‘Nanga’ membawa maksud ‘Kuala Sungai’.

Bersesuaian dengan itu, ‘Ng. Medamit’ digunakan untuk merujuk kepada masyarakat yang mendiami kawasan Kuala Sungai Medamit. Ng. Medamit merupakan salah satu daripada daerah kecil yang terdapat dalam Bahagian Limbang, selain Sundar dan Trusan. Daripada keseluruhan bahagian yang seluas 7,790 km persegi, Daerah Kecil Ng. Medamit sahaja telah membentuk kawasan seluas kira-kira 3,047.37 km persegi. Lokasinya hanya kira-kira 49 km dari bandar Limbang dan boleh dihubungi melalui jalan darat dan jalan sungai. Sungguhpun jalan darat semakin berkembang dan menjadi pilihan penduduk, peranan jalan sungai khususnya untuk menghubungi kawasan di luar daerah kecil itu tidak boleh diketepikan.

Jalan sungai menjadi kaedah pengangkutan yang penting di sini suatu ketika dahulu. Keadaan itu juga yang telah mempengaruhi pembinaan rumah-rumah panjang dan perkampungan di sepanjang tebing Sungai Limbang, Sungai Medamit dan Sungai Mendalam.

Seawal tahun 1940-an, Nanga medamit merupakan pelopor kecil luar bandar yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk dijadikan ‘tamu’ atau tempat pasaran. Baris pertama rumah kedai kayu dibina oleh kerajaan Kolonial untuk memberi peluang kepada beberapa ketu masyarakat Iban, seperti Temenggong Ngang untuk memiliki sekurang-kurangnya satu unit kedai dan selebihnya adalah untuk usahawan Cina.

Pada ketika itu, kerajaan Kolonial memberi sokongan sosial kepada pelopor-pelopor kecil ini dengan membina sebuah sekolah rendah – Sekolah Rendah Nanga Medamit. Anak jati Nanga Medamit iaitu Cikgu Stephen Bejit telah dihantar ke sekolah tersebut sebagai seorang guru dan juga penyelia asrama. Pada waktu itu, seramai 20 pelajar bersekolah di SK Nanga Medamit. Malah semua pelajar terbabit yang kini berusia dalam lingkungan 60-an masih tinggal di Nanga Medamit.

Pada tahun 1990-an, kerajaan Malaysia telah membina sebuah sekolah menengah – Sekolah Menengah Kebangsaan Nanga Medamit, sebagai tempat untuk generasi baru kini menimba ilmu. Ramai guru-guru dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan juga sekitar Sarawak berkhidmat di sekolah ini.

 

 

Sumber dari :

Sejarah:http://www.sarawak.com.my