mcmc
Kemudahan Asas

Kemudahan Asas

Kedudukan Pekan Nanga Medamit yang terletak kira-kira 49Km dari pusat bandar Limbang dan 45 minit perjalanan mengunakan kereta tidak menghalang pekan ini ketinggalan dari segi kemudahan asas walaupun pekan ini merupakan satu-satunya daerah kecil yang terdapat di Daerah Limbang. Kemudahan – kemudahan yang terdapat di Pekan Medamit ialah;

1. Dewan Masyarakat

  • Kedudukannya yang strategik (berdepan dengan bangunan Kedai Baru, bersebelahan dengan Pejabat Daerah Kecil & berdekatan Stesen Minyak) memudahkan komuniti setempat mengadakan aktiviti seperti perjumpaan umum untuk tujuan sosial, politik, pembelajaran dan rekreasi. Ia juga berfungsi sebagai alat untuk memupuk semangat perpaduan dan kejiranan. Selain itu, dewan masyarakat ini digunakan sebagai pusat untuk melaksanakan perkhidmatan kerajaan seperti kempen kesihatan, aktiviti penerangan dan sebagainya.

2. Gelanggang Serbaguna

  • Terletak bersebelahan dengan Dewan Masyarakat. Seringkali digunakan oleh penduduk setempat untuk aktiviti riadah/bersukan seperti pertandingan Futsal dan sebagainya.Gelanggang tersebut dilengkapkan dengan pelbagai fungsi kemudahan iaitu sukan sepak takraw, bola tampar, bola keranjang dan bola jaring.

3. Stesen Minyak

  • Dengan adanya kemudahan asas seperti Stesen Minyak, ini dapat memudahkan penduduk di kawasan pekan ini mendapatkan bekalan bahan api untuk kegunaan seharian mereka. Hal ini kerana, bahan api merupakan bahan utama untuk kegiatan/aktiviti seharian penduduk di kawasan ini. (mengisi minyak untuk tangki motosikal, kereta, lori dan juga perahu bermotor)

4. Jeti

  • Terdapat dua buah jeti yang terdapat di pekan ini. Jeti yang pertama terletak di hujung jalan Nanga Medamit. Jeti tersebut digunakan oleh penduduk untuk menghantar & mengambil anak mereka kesekolah, selain itu turut memudahkan penduduk untuk ke Klinik yang terletak di seberang sungai. Manakala jeti kedua terletak berdekatan dengan bangunan kedai baru. Jeti tersebut digunakan oleh penduduk untuk mengangkut hasil tanaman & ternakan mereka untuk di jual.

5. Bangunan Kedai Baru Nanga Medamit

  • Bangunan kedai Nanga Medamit dibina khas bagi penduduk Nanga Medamit untuk menjalankan aktiviti keusahawanan seperti membuka kedai runcit, kedai minum dan juga kedai makan. Di sini juga terdapat bilik untuk disewa bagi para guru atau pekerja yang bekerja di Nanga Medamit.

6. Gereja

  • Terdapat dua buah gereja utama di Nanga Medamit iaitu Gereja Katolik Saint Michael dan juga Gereja Sidang Injil Borneo. Kedua-dua gereja ini berada berdekatan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Nanga Medamit dan juga tidak jauh dari Pejabat Daerah Kecil.

7. Stesen Bas

  • Terdapat tiga buah stesen bas telah dibina di pekan ini. Sebuah telah dibina di hadapan bangunan kedai baru (di hadapan bangunan Pusat Internet Nanga Medamit), Makala 2 buah lagi dibina di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Medamit.

 

Disamping itu juga, terdapat beberapa agensi kerajaan yang terdapat di pekan Nanga Medamit. Antaranya ialah;

1. Pejabat Daerah Kecil Nanga Medamit.

  • Daerah Kecil Nanga menjadi kediaman kepada masyarakat Iban, Lun Bawang, Bisaya dan lain-lain. Dengan adanya pejabat ini, dapat memudah penduduk di sekitar kawasan ini berhubung dengan pihak-pihak kerajaan mengenai permasalahan/aduan/sebarang pertanyaan.

2. Jabatan Pertanian

  • Terletak bersebelahan dengan Pejabat Daerah Kecil Nanga Medamit Berperanan untuk memberi perkhidmatan perundingan, sokongan teknikal dan khidmat nasihat yang profesional dalam pelbagai bidang Pertanian khususnya tanaman makanan dan industri hiliran bagi menentukan pengeluaran makanan yang mencukupi untuk keperluan penduduk.

3. Balai Polis

  • Terletak di bangunan Kedai Baru (dibawah bangunan Pusat Internet Nanga Medamit). Perananya adalah memantau keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan pekan ini.

4. Klinik Desa

  • Terletak di seberang sungai Nanga Medamit, berperanan dalam meningkatkan mutu kesihatan dan keceriaan hidup di kalangan masyarakat. Ini kerana institusi itu berperanan menambah paradigma dan amalan hidup masyarakat terutama mereka yang tinggal di luar dan pinggir bandar serta mempunyai latar belakang sosial ekonomi rendah.